Pertama kali saya menggunakan kalimah ‘Yosh!’ adalah pada hujung bulan Mei 2010. Pada masa itu saya dan beberapa rakan lain kerap ditanya soal fotografi dan juga design dengan menggunakan photoshop. Pertanyaan-pertanyaan itu menjadikan kami berfikir elok sekiranya kita buat satu aktiviti perkongsian santai.
Jadi aktiviti Yosh ini muncul dengan gaya perkongsian tidak formal dalam kelas. Antara yang terlibat membantu dalam menggerakkan program Yosh adalah Umair Idros, Mujahid, Muaz Roslan dan beberapa individu lain lagi.
Apabila ditanya kenapa saya memilih nama Yosh ini, saya sendiri tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Mungkin akibat pengaruh drama Jepun yang kuat. Apabila menyebut Yosh, ia seumpama keghairahan mengatakan ‘Ya’ untuk melakukan sesuatu.
Begitu jugalah apabila munculnya idea perkongsian santai grafik dalam kelas. Maka kami mengatakan Yosh untuk melakukannya. (Idea jika sekadar di mulut tidak akan berhasil apa-apa)
Oleh itu janganlah ditanya lagi apakah maksud Yosh. Haha. Memang saya tidak dapat beri jawapan yang tepat. Inilah nama yang dapat difikirkan oleh seorang penggila drama Jepun.
Yosh kemudiannya berkembang lagi daripada aktiviti perkongsian dalam kelas kepada aktiviti luar kelas pula dengan adanya Yosh Outing. Yosh Outing pula lebih kepada aktiviti fotografi. Kita pilih satu tema dan tempat, dan kita berkumpul beramai-ramai di situ.
Jika ada yang bertanya bila Yosh akan buat satu kelas fotografi, grafik atau video, buat masa ini kami akan melakukannya bawah nama lain. Bukan atas nama Yosh. Jika boleh, biarlah ia berdiri sebagai satu platform cool dan santai.
Pada masa ini Yosh masih lagi tiada satu platform tetap. Kami hanya berbincang melalui facebook sahaja. Tetapi impian kami besar untuk menjadikannya salah satu grup orang muda yang berdakwah melalui grafik dan foto (akan datang mungkin video juga).








